teahgemm.blogspot.com

if you are not enjoy with what you have, how can you be happy with more....??

Jika anda ISLAM, baca.....



Orang Pertama Dicampakkan ke Neraka 




Mari kita menyemak siapa orang pertama yang dicampakkan ke dalam neraka pada hari pembalasan kelak. Mari sama-sama kita hayati hadis riwayat Imam Muslim berikut.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang mati syahid, orang itu dihadirkan di hadapan Allah, lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya. Orang itu mengingati semua nikmat tersebut. Allah bertanya: "Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?" Orang itu menjawab: "aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh."

Allah berfirman: "Engkau berdusta! Akan tetapi engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani."

Dan sememangnya orang ramai menyebutnya sebegitu. Orang itu lalu diseret ke atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang belajar ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran. Orang itu dihadirkan, lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya,

Allah lalu bertanya: "Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?"

Dia menjawab: "Aku mempelajari ilmu, lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran."

Allah berfirmn: "Engkau berdusta! Akan tetapi engkau belajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz)".

Dan sememangnya orang ramai menyebutnya begitu. Orang itu lalu diseret di atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah. Orang ini dihadirkan, lalu disebut  nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya. Orang itu mengingati semua nikmat tersebut.

Allah bertanya: "Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?"

Dia menjawab: "Aku membenlanjakannya di tempat-tempat yang engkau kehendaki."

Allah berfirman: "Engkau berdusta! Akan tetapi engkau melakukannya agar dikenali sebagai dermawan."

Dan sememangnya orang ramai menyebutnya begitu. Orang itu lalu diseret di atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke neraka.

Hadis ini menyebut bahawa antara orang yang pertama masuk neraka ialah mereka yang suka menpu agama Allah. Mereka memang beribadah, namun ibadah itu tidak diniatkan kerana Allah. Sebaliknya mereka beribadah agar menjadi buah mulut dan sebutan orang ramai.

Sikap ini disebut riyak dan sum'ah, melakukan ibadah unntuk manusia, bukan kerana Allah.

Qatadah, seorang ulama tabiin di Basrah berkata:

 "Apabila seseorang hamba melakukan ibadah dengan riyak, Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat: 'Tengoklah hamba-Ku ini, dia sedang mempersendakan diriku.'"

Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, halkikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah s.w.t. kelak.

Untuk menghindari sifat ini, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidk terdapat dalam diri kita.

Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Tanda riyak tiga perkara:

1.    Malas beramal jika bersendirian
2.    Rajin beramal jika dalam ramai
3.    Menambah amlan jika dipuji dan menguranginya jika dicela

: : dipetik daripada SOLUSI isu 33 (UMAR M. NOOR)

3 Golongan Manusia di Dunia

Tahukah anda manusia dibahagi kepada 3 golongan iaitu :

1.    Hidup demi dunia semata-mata

:: Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): 'Hidup ini hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.'
(surah al-An'am 6:29)

Golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.

2.    Golongan yang percaya kewujudan akhirat namun…

Namun mereka tidak berusaha ke arah mencapai kebahagiaan "di sana". Mereka selamba bersuka ria dan berhibur di dunia tanpa berusaha gigih untuk menggapai kebahagiaan di akhirat.

3.     Golongan yang menganggap dunia ini ladang akhirat

Mereka menanam di sini untuk menuai di akhirat kelak.

:: Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidaklah kamu memahaminya?"
(surah al-An'am 6:32)

Di mana agaknya kita?

Tepuk dada tanya iman!

:: dipetik daripada SOLUSI isu 33 (



Indahnya Syurga Sebaik-baik Ganjaran!
Tafsir surah al-Ghashiyah ayat 8-16

Menerusi ayat 8-16 surah al-Ghashiyah, Allah ms.w.t menceritakan tentang keadaan nikmat dan anugerah buat hamba-hambanya yang taat. Hikmah penceritaan ini adalah untuk memotivasikan hamba-hamba-Nya yang taat agar meneruskan amal ibadah yang dilakukan mereka.

GANJARAN SETIMPAL :

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ghashiyah ayat 8-12 yang bermaksud:

(8) Wajah (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri
(9) Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).
(10) (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukan darjatnya).
(11) Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.
(12) Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.

Mereka merasakan kesungguhan yang telah dicurahkan di dunia dahulu sememangnya mendapat balasan yang ,menggembirakan hati. Amat berbaloi pengorbanan sewaktu di dunia dahulu. Syurga yang didiami pula dijadikan Allah pada penempatan yang tinggi. Lazimnya di dunia, ketinggian sesuatu tempat menjadikannya lebih istimewa berbanding tempat rendah yang menghalang penglihatan.

Syurga merupakan tempat kebaikan yang dilimpahi aneka nikmat, maka dengan sebab itu Allah memelihara mereka daripada perkara yang sia-sia. Untuk menjadikan nikmat kehidupan di dalam syurga ini lebih tinggi dan sempurna, Allah s.w.t menjadikan di dalamnya mengalir air yang deras tanpa putus.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sungai-sungai di dalam syurga memancar daripada anak gunung kesturi."
(Riwayat Ibn Hibban dan Abi Hatim).

Dalam ayat yang lain, Allah memberi bayangan bahawa terdapat pelbagai jenis air sungai yang mengalir di dalamnya.

NIKMAT SYURGA YANG TIADA TARA :

Selain itu Allah s.w.t memberikan penegasan bentuk-bentuk nikmat di dalam syurga dalam ayat 13-16, yang bermaksud:

(13) Di situ juga ada takhta (berhias) yang tinggi tempatnya
(14) Dan gelas-gelas minuman yang disediakan (untuk mereka).
(15) Serta permaidani-permaidani yang terhampar.

Di sini dilakarkan bahawa di dalm syurga itu mereka mendapat tempat-tempat duduk seperti takhta yang ditinggikan. Kata nama jamak ini berasal daripada nama tunggak yang lazimnya merujuk kepada tempat duduk yang mempunyai sandar yang cukup luas bagi membolehkan seseorang itu berbaring di atasnya.

Ini disebabkan kerehatan yang dinikmati di syurga merupakan suatu yang bersifat infiniti. Ia menjadikan seseorang yang berada di dalamnya tidak lagi dibebankan oleh tanggungjawab-tanggungjawab seperti di dunia yang sering membebankannya dahulu. Jika di dunia, Mukmin tiada kesempatan untuk berehat, namun kini di syurga merupakan waktu untuk berehat sepenuhnya tanpa diganggu oleh komitmen-komitmen seperti di dunia dahulu.

Menurut Ibn Khatir, satu pandangan daripada Ibn Abbas, kerusi-kerusi yang hebat ini pada asalnya berkedudukan rendah. Ia akan menjadi tinggi sebaik sahaja  ahli syurga naik di atasnya. Ini bersesuaian dengan gaya bahasa bentruk pasif yang digunakan, yang memberikan isyarat bahawa kerusi tersebut rendah tetapi kemudiannya ditinggikan atas kuasa Allah s.w.t. tujuan ditinggikan tempat duduk ini adalah untuk memudahkan mereka menikmati pandangan tanpa batas.

Sesetengah ulama mentafsir mengatakan ketinggian yang dimaksudkan turut mengandungi maksud kualiti kehidupan dan kemuliaan darjat sebagai balasan ketabahan mereka menghadapi kesedihan dan kesukaran semasa di dunia dahulu. Sayyid Qutub pula mengatakan bahawa perkataan 'tinggi' turut membawa maksud kebersihan dan kesucian.

Ahli-ahli syurga turut diberi minuman di dalam gelas yang siap terhidang dan mudah dicapai, sambil bersandar pada bantal-bantal yang tersusun rapi dengan permaidani yang tebal menghampiri tenpat-tempat mereka, sedia untuk diduduki oleh penghuni-penghuni syurga ini.

Demikian pamdangan yang dikemukakan oleh Ibn Abbas r.a. dan al-Dahhak. Dalam ayat-ayat yang lain, ahli-ahli syurga sebenarnya dilayan oleh para isteri daripada kalangan bidadari yang indah jelita semasa berada di tempat ini.

:: dipetik daripada SOLUSI isu 33 (USTAZ DR. HJ. ZAHAZAN MOHAMED)

Mulut Pencetus Dosa atau Doa? 




Biasa kita dengar ungkapan 'Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Itulah perumpamaan Melayu yang banyak mendidik bangsa kita pada masa dahulu agar berhati-hati sewaktu berbicara. Oleh sebab itu, kita melihat orang Melayu  terkenal dengan sifat bersopan santun.

Walaubagaimanapun terdapat juga sebilangan orang Melayu yang tidak sayang mulut. Mereka bukan sahaja 'cakap lepas' sehingga menyinggung hati jiran tetangga, malah suka membawa cerita, mengumpat dan menabur fitnah. Mereka bersikap begini supaya dapat memberi masalah kepada pihak lawan.

Kita melihat mereka seperti tidak mendapat apa-apa kesan negatif, sebaliknya mereka boleh bergembira atas penderitaan orang lain. Kalau begitu halnya, perumpamaan itu benar-benar tidak mendidik orang Melayu. Atau boleh jadi, mesej perumpamaan itu tidak merujuk kepada golongan di atas walaupun pada zahirnya perumpamaan tersebut menunjukkan seolah-olah kedua-dua belah pihak harus berasa bahananya.

MULUT AMANAH ALLAH

Jika kita merujuk kepada imlu tasawuf, 'mulut' disebut 'lidah'. Itulah hakikatnya. Mulut selain menjadi saluran untuk makan dan minum, ia juga menjadi medium komunikasi. Maka sebab itu, mulut pada hari akhirat akan menjadi saksi atas apa yang dilakukan oleh tuannya. Ketika itu manusia tidak boleh menafikan lagi.

Lidah merupakan salah satu daripada 7 bahagian anggota manusia yang Allah amanahkan kepadanya untuk dimanfaatkan dan dijaga sebaiknya. Jadi, semua anggota itu seharusnya digunakan untuk mengikut kehendak Allah. Mulut atau lidah sebagai contoh diamanahkan supaya bercakap perkara yang baik, membaca al-Quran dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tetapi realitinya anggota tersebut sering disalahgunakan oleh manusia, lalu menyebabkan hubungan sesama manusia rosak binasa. Percayalah, apabila manusia tidak menjaga amanah, mulut itu akan menjadi alat pemusnah kebahagiaan masyarakat.

Oleh sebab itu, dalam ilmu tasawuf disebutkan, bagi mengimbangi 7 anggota tersebut, Allah mencipta 7 buah pintu neraka. Maknanya, bagi setiap satu bahagian anggota itu, ada neraka yang dikhususkan untuk mereka yang tidak menjaga amanah lidah.

TIDAK SAYANG MULUT?

Sungguhnya Allah telah menyediakan neraka khas bagi dosa lidah, masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga lidah. Seolah-olah mereka telah merelakan diri untuk terus masuk ke dalam neraka tersebut. Mengapakah ini berlaku? Apakah mereka tidak takut akan neraka?

Demikian juga sifat dua orang insan yang berebut kuasa dan sebagainya. Kata-mengata antara satu sama lain sudah menjadi lumrah.  Persoalannya, adakah dengan mengata orang, pihak satu lagi boleh insaf dan bertaubat? Tidak sama sekali, malah mereka akan bertambah jauh. Jadi, apakah faedahnya berbuat begitu? Tidak gerunkah kita andai nanti dimasukkan ke dalam neraka angkara bahana lidah ini?

Selain itu, wanita juga antara golongan yang kurang prihatin soal menjaga lidah atau mulut. Menurut kajian, wanita bercakap lebih banyak perkataan sehari berbading lelaki. Namun antara perkataan yang keluar itu, kita tidak pasti berapa banyak pula yang dugunakan untuk menuduh dan memerli orang lain dalam gurauan. Barangakali sedikit sahaja kata-kata yang berunsur nasihat.

ALLAH MAKBULKAN DOA YANG SERIUS

Isteri yang tidak mahu dirinya dimadukan, tidak mahu suami suami kahwin lagi tidak boleh disalahkan kerana itu fitrah isteri. Dia tidak sanggup berkongsi kasih dengan suaminya yang satu. Tetapi fitrah itu hendaklah diiringi dengan doa yang baik. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan sangkaan hamba-Nya.

Di disinilah kesilapan isteri. Kepulangan suami ke rumah disambut dengan pelbagai tuduhan, malah ugutan: "Abang jangan rapat sangat dengan ustaz tu, nanti berjangkit pula." Kebetulan ustaz itu baru sahaja berkahwin untuk kali kedua.

Mengapa menggunakan lidah untuk mendoakan suami perkara negatif? Jika buruk yang kita ucapkan, maka keburukan yang diperoleh. Jika poligami yang dibayangkan, maka poligami yang akan diperoleh. Tetapi jika secara diam kita berdoa kepada Allah agar diselamatkan rumahtangga dan dikuatkan iman suami, tentu lebih baik daripada membuat tuduhan yang bukan-bukan.

Percayalah wahai isteri, jika anda sayang akan suami anda dan tidak mahu hidup bermadu, gunakan mulut untuk menghiburkan suami apabila dia pulang ke rumah. Jika anda tidak pandai mendendangkan lagu, buat suami, berbuallah dengan suami baik-baik tanpa menyinggung hati dan perasaannya.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruahnya serta harta kamu sepanjang ketiadaanmu."(Riwayat al-Tabrani)

Jelas di sini, mulut anda amat berharga untk mencipta rumahtangga bahagia. Maka untuk mengekalkan hubungan yang baik antara suami isteri, jagalah lidah atau mulut daripada dosa walaupun kecil.

Tidak syak lagi perumpamaan Melayu, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Malah skop yang cuba diperluaskan dalam isu rumahtangga boleh menyelamatkan rumahtangga umat Islam. Jadi, baik isteri mahupun suami mulai hari ini perlu mengawal mulut. Tutuplah mulut daripada mendoakan suami atau isteri perkara yang negatif.

:: dipetik daripada SOLUSI isu 33 (USTAZ AHMAD BAEI JAAFAR)